Kelibat pesawat penerbangan Malindo Air tidak akan lagi kelihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di dalam masa terdekat ekoran keputusan pihak pengurusan penerbangan tersebut menukar nama syarikat penerbangan Malindo Air kepada Batik Air Malaysia di seluruh Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air Chandran Rama Muthy, penjenamaan semula syarikat tersebut kepada Batik Air Malaysia adalah selaras dengan keperluan kumpulan Syarikat Lions Air, yang merupakan pemegang saham syarikat penerbangan tambang murah itu.

Chandran menjelaskan bahawa Batik Air Malaysia akan menjadi jaringan penerbangan antarabangsa bagi syarikat Lion Air, dengan satu lagi anak syarikat Lion Air, Batik Air Indonesia menjadi penghubung bagi penerbangan-penerbangan domestik di Indonesia.

Adalah difahamkan bahawa penukaran nama Malindo Air kepada Batik Air Malaysia juga akan membantu Lion Air di dalam mewujudkan satu rangkaian penerbangan domestik dan antarabangsa, dengan kedua-dua syarikat Batik Air itu menjadi penghubung kepada penerbangan-penerbangan milik Lion Air.

Penjenamaan semula Malindo Air ke Batik Air Malaysia akan sekaligus menyaksikan semua kapal terbang milik Malindo Air diberikan nafas baharu, selaras dengan jenama baharu yang akan ditonjolkan.

Facebook Comments
Booking.com