MetroCity di Matang semakin hari, semakin mendapat tempat sebagai hub makanan yang terkenal di Bandaraya Kuching.

Sebelum ini, kami pernah menulis tentang kedai Nasi Kandar asli dari Pulau Pinang yang terbaik di Kuching, yang terletak di MetroCity Matang, dan beberapa tempat kedai makanan lain, telah perlahan-lahan membuka cawangan di bandar satelit ini.

Kini, terbaharu pula adalah pembukaan ‘food court open air’, atau medan selera terbuka yang boleh saya katakan adalah yang terbaik di Kuching di MetroCity Matang.  – ‘Terbuka’ di sini bermaksud, ianya tidak berhawa dingin.  Ianya dinamakan MetroCity Seafood Garden, dan pelan pembangunannya medan selera MetroCity ini telah diumumkan seketika dulu.

MENGAPA METROCITY SEAFOOD GARDEN TERBAIK?

Seharusnya, anda pasti akan mempersoalkan mengapa saya mengibaratkan MetroCity Seafood Garden sebagai  medan selera halal terbuka yang terbaik di Kuching?

Bentuk MetroCity Seafood Garden yang unik. Kelihatan di sini, ruangan berhawa dingain. Gambar: Cyril Dason

Jawapan saya mudah sahaja, yakni, ianya adalah setaraf dengan medan selera yang terdapat di pusat membeli belah tHe Spring, yang sebelum ini, telah juga saya katakan adalah medan selera terbaik di dalam sebuah pusat membeli belah di Kuching.

Jika anda belum lagi membaca artikel berkenaan mengapa medan selera tHe Spring adalah pilihan saya sebagai medan selera terbaik di dalam pusat membeli belah di Kuching, sila-lah baca. =)

Sekarang ini, saya memilih MetroCity Seafood Garden sebagai medan selera halal terbuka yang terbaik di Kuching atas faktor dibawah.

BERSIH

Sememangnya sebuah tempat yang baru akan kelihatan bersih, dan ini jugalah yang saya nampak di MetroCity Seafood Garden.  Dengan pilihan kerusi plastik yang berkualiti, ditambah pula dengan meja yang disusun cantik, MetroCity Seafood Garden kelihatan amat bersih.

Saya juga sempat menjengah ke kawasan dapur salah satu tempat menjual makanan, dan saya dapati ainya adalah dirancang dengan teliti, membolehkan kawasan memasak dan kawasan menjual mempunyai ruang sendiri, sekaligus membolehkan asap berminyak dari memasak keluar ke udara, dan tidak melekat di kawasan makan.  Tempat menjual makanan juga kering.

PELBAGAI PILIHAN MAKANAN

Seperti juga the Food Bazaar milik tHe Spring, MetroCity Seafood Garden mempunyai pelbagai jenis makanan dari pelbagai vendor. Ini termasuklah makanan Korea, Thai, Kelantan, Cina, Western dan banyak lagi.  Saya cuma agak kecewa terdapat beberapa gerai yang menjual makanan yang hampir sama, kerana ini akan membawa masalah dalam jangka masa panjang.

Terdapat banyak pilihan makanan di MetroCity Seafood Garden. Gambar: Cyril Dason

Sungguhpun demikian, untuk menambahkan lagi kepelbagaian makanan, ada juga gerai menjual pizza serta restoran menjual makanan laut yang pasti akan saya cuba pada masa hadapan.  Restoran laut tersebut adalah ‘anchor tenant’ kepada medan selerqa ini.

SUSUN ATUR MENARIK

Ini adalah perkara yang paling menarik berkenaan MetroCity Seafood Garden.  Jika dibandingkan dengan medan selera lain di sekitar Kuching, Medan Selera MetroCity menampilkan susun atur gerai yang amat menarik, walaupun ianya mungkin kelihatan biasa pada mata sesetengah orang.

Anda hanya perlu mengimbas sekali sahaja, dan anda tahu pilihan makanan yang ada. Gambar: Cyril Dason

Pada pengamatan saya, jika anda pergi ke MetroCity Seafood Garden, and boleh melihat semua jenis makanan yang anda boleh pesan pada sekali imbas, dan ini adalah sesuat yang sangat bagus (Ciri sebegini juga dapat dilihat di Kubah Ria, namun saiz tulisan pada papan tanda gerai adalah kecil, dan jenis makanan adalah hampir sama).

Bukan setakat itu, rekaan medan selera tersebut memastikan pengudaraan di di tempat makan khususnya, sentiasa di dalam keadaan terbaik, dan seluruh medan sentiasa terang.

SERVIS

Setakat ini, servis di MetroCity Seafood Garden boleh saya ibaratkan sebagai baik.  Sungguhpun ianya belum menjadi tumpuan ramai, bilangan ‘tukang ambil order’ di medan selera ini adalah ramai, dan mereka menjalankan kerja mereka dengan baik.  Tidak cukup dengan itu, mereka juga melayan anda dengan penuh mesra, dan meja yang dikosongkan akan dibersihkan dengan segera.

Pandangan depan medan selera ini. Kelihatan banyak tempat meletak kereta. Gambar: Cyril Dason

Untuk yang berkereta, terdapat banyak tempat untuk anda meletak kereta, dan semuanya berturap.  Laluan kereta juga dirancang engan baik agar tidak timbul masalah kesesakan jalan raya apabila tempat tersebut penuh.

BAGAIMANA UNTUK KE METROCITY SEAFOOD GARDEN?

Ramai yang masih meletakkan Matang Jaya sebagai kawasan yang jauh dari pusat bandar, namun hakikatnya, MetroCity Matang hanya sepuluh minit dari Padang Merdeka!  Lokasi ini membolehkan MetroCity Seafood Garden mudah dilawati, biarpun ianya sebenarnya agak tersembunyi daripada jalan utama.

Jika anda tidak berapa kenal akan kawasan Matang Jaya, anda mungkin sukar untuk mencari MetroCity Seafood Garden, khususnya kerana medan selera ini agak terperosok di belakang Akademi Kastam Malaysia di Matang.

Oleh yang demikian, anda bolehleh mengikut peta di bawah untuk ke Medan Selera MetroCity.

KESIMPULANNYA

Sesungguhnya, pada abad ini, sebuah medan selera seharusnya sentiasa bersih, mempunyai pilihan makanan yang banyak dan strategik dari segi lokasi, dan MetroCity Seafood Garden lengkap dengan semua kriteria ini.

Makanan yang dipesan pada harga RM11. Gambar: Cyril Dason

Pada hari saya ke MetroCity Seafood Garden, saya telah memilih untuk makan nasi campur, dan ianya tidak kurang enak biarpun berharga RM11 (kerana saya telah mengambil banyak, dan makanan halal juga tidak murah).

Apapun, MetroCity Seafood Garden adalah satu ‘benchmark’ kepada semua medan selera di sekitar Kuching, khususnya yang halal. Secara tidak langsung, medan selera lain juga akan terpaksa menaik taraf kemudahan mereka agar pengguna dapat menikmati juadah yang mereka pesan, di dalam keadaan selesa, seperti di sini.

Mun kitak pergi, komen lok dibah tentang tempat ya. Mok tauk juak pandangan kitak bah.

Facebook Comments
Booking.com